Gastrik, Tanda dan Punca nya. Bhgn 1
Ramai yang menganggap ‘gastrik’ itu hadir disebabkan tidak makan, atau kurang makan, atau terlalu ‘berdiet’ sehinggakan perut menjadi kosong lalu dimasuki angin. Hakikatnya, itu bukanlah satu-satunya punca gastrik itu terjadi. Kadang-kadang orang yang makan 5-6 kali sehari seperti aku juga boleh diserang gastrik, hanya disebabkan oleh beberapa faktor lain. Oleh yang demikian, apa yang menyebabkan gastrik untuk terjadi? Dan yang lebih penting, apa itu gastrik? Berikut merupakan sedikit definisi dan maklumat sakit ini berdasarkan pemahaman aku menerusi konsultasi doktor dan bacaan sampingan.
Gastrik merupakan istilah tidak rasmi yang digunakan masyarakat kita untuk merujuk kepada sakit di bahagian pangkal perut (epigastric), berdekatan dengan “pintu bukaan” atau injap sempadan (Lower Esophageal Sphincteratau LES) yang menghubungkan perut dengan esofagus (salur untuk udara dan makanan). Definisi Gastrik yang sebenarnya mengikut istilah perubatan adalah bermaksud “perut”. Ini bermaksud, istilah sebenar yang merujuk kepada sakit di bahagian pangkal perut adalah mungkin sama ada “gastrik ulcer” yakni “luka dalam perut” (ulcer bermaksud luka), ATAU “gastritis” yakni “inflamasi/kemerah-merahan pada dinding perut”. Ini sekaligus merujuk kepada beberapa variasi penyakit yang berlaku di sekitar kawasan yang sama (pangkal perut) tetapi berbeza mekanisma seperti GERD (Gastroesophageal reflux disease, acid reflux).
Gastrik berpunca dari ketidakseimbangan asid perut yang naik ke atas bahagian perut sehingga menyebabkan berlakunya inflamasi pada lapisan mukosa bahagian berkaitan. Dalam keadaan normal di mana rembesan asid perut adalah seimbang, seseorang tidak menghadapi masalah ini. Walau bagaimanapun dalam keadaan tertentu di mana rembesan asid perut berlebihan (hyperacidity) mengatasi kekuatan lapisan mukosa, akanberlakunya iritasi/keradangan dan mengakibatkan rasa sakit di bahagian tersebut. Jika keradangan melampau atau lapisan mukosa yang tercedera itu terdedah dengan asid perut yang berlebihan untuk tempoh yang lama (sebagai contoh sakit itu datang dan pergi dengan kerap dalam tempoh seminggu), ini boleh menyebabkan berlakunya luka (gastric ulcer).
Iritasi/keradangan dinding perut (gratitis) yang disebabkan oleh lebihan asid perut naik sehingga di bahagian pangkal perut (epigastric)
Info tambahan 1: Sekiranya anda masih ingat dalam entri “Mari berkenalan dengan tubuh badan” dahulu aku ada ceritakan yang dinding perut manusia sentiasa diganti sekali setiap 3 hingga 4 hari untuk menahan kesan menghakis asid perut dan seandainya mekanisma ini terhenti, asid yang ada akan menghadam perut anda sendiri sebagai makanan. Namun, dalam keadaan dinding perut yang tercedera, proses ini (penggantian dinding perut) sukar berlaku. Itulah sebabnya mengapa seseorang itu boleh diserang sakit gastrik sehingga berhari-hari, atau berkali-kali dalam seminggu, lebih-lebih lagi jika tidak berpantang makan atau tidak mengambil antacid atau ubat yang membantu.
Info tambahan 2: Berpuasa mengakibatkan gastrik? Ada pendapat mengatakan apabila tiada makanan (contohnya ketika berpuasa), tahap keasidan dalam perut akan bertambah. Namun hakikatnya apabila kita berpuasa, keseluruhan sistem pencernaan akan berehat, lantas secara automatik rembesan asid hidroklorik dalam perut akan menurun, kecuali dalam kes-kes tertentu di mana perut gagal menerima respon dari otak untuk mengurangkan kadar rembesan asid ketika berpuasa. Dalam kes ini, individu tersebut haruslah mengambil ubat (proton-pump inhibitor) yang berfungsi mengurangkan rembesan asid perut. Antara proton-pump inhibitor yang boleh diambil adalah Omeprazole, Lansoprazole, Ranitidine dan beberapa jenis lagi.
Tanda-tanda umum Gastrik
- Perut terasa kembung membulat terutama di bahagian atas (bloating) selepas makan, meskipun hanya makan dalam jumlah yang sedikit
- Sendawa berterusan
- Terasa ‘sakit mencucuk’ pada bahagian atas perut (epigastric)
- Nausea selepas makan (rasa mual)
- Muntah (sehingga habis semua isi perut yang keluar, sampai satu tahap yang keluar itu hanya angin dan cecair berwarna hijau/kuning)
- Hilang selera makan
- Jika terlalu kronik, pengidap akan mengalami penurunan berat badan yang tidak diingini
Punca-punca umum Gastrik
Mungkin ramai mendakwa gastrik hanya hadir apabila seseorang itu mengamalkan diet yang terlalu ekstrim atau selalu tidak mengambil makanan. Hakikatnya itu tidak benar sama sekali. Gastrik boleh hadir disebabkan oleh banyak faktor, antaranya:
- Makanan pedas – Makanan pedas adalah lambat dan sukar untuk dicerna dan oleh yang demikian perut akan merangsang lebih banyak rembesan asid perut untuk tujuan mencernakannya di dalam perut. Ini menjelaskan mengapa makanan seperti cili dan lada mampu meningkatkan kesan thermal makanan (lebih kalori diperlukan untuk mencernakannya, sekaligus meningkatkan metabolisma).
- Makanan masam – Makanan yang terlalu masam juga meningkatkan kesan asid terhadap dinding perut. Ini meningkatkan kebarangkalian untuk terjadinya gastrik.
- Makanan berminyak/berlemak (kecuali minyak zaitun) – Makanan berlemak juga agak sukar untuk dihadam, justeru perut akan merangsang lebih banyak asid ke dalam perut untuk tujuan pencernaan.
- Merokok – dikatakan mampu mengurangkan kecekapan Lower Esophageal Sphincter (LES; rujuk rajah di atas) yang berfungsi selaku pintu pagar yang membenarkan makanan masuk ke dalam perut dan menutupnya kembali. Apabila LES sering terbuka (kurang cekap), asid perut mudah masuk ke ruang esofagus dan ini amat menyakitkan.
- Minuman berkafein (teh, kopi) – juga mampu merangsang rembesan asid perut
- Makanan yang “berangin”, meskipun kebanyakkan doktor perubatan tidak percaya ini merupakan punca utama gastrik, namun berdasarkan pengalaman aku kesannya tetap ada walau sedikit untuk membuatkan perut terasa penuh (bloated)
- Penggunaan NSAIDS (non-steroidal anti inflammatory drug) yang berterusan dan terlalu kerap (seperti aspirin) akan menyebabkan hakisan dinding perut, ini meningkatkan peluang untuk kawasan tersebut mengalami kesakitan apabila dijamah asid perut.
- Stress/ tekanan emosi – apabila berada dalam keadaan stress, kebiasaannya perut akan merembeskan asid dengan banyak. Ini merupakan antara sebab mengapa seseorang terasa hendak “mengunyah” ketika stress.
- Jangkitan bakteria H. Pylori – bakteria ini dikatakan mampu membuat dinding perut menjadi luka (gastric ulcer)
- Kurang/tidak bersenam
Produk Sarimah Signature series yang di syorkan: Sari Agegard bersama Sari Stemshape